Cadangan gaji minimum baharu jejas pemulihan ekonomi: MEF

Iklan
Gaji minimum RM1,500 akan menaikkan kos barangan dan perkhidmatan selain kos operasi - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mengulangi bahawa situasi sekarang bukan masa yang sesuai untuk meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan cadangan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 akan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, majoriti perniagaan Malaysia tidak bersedia dan tidak dapat melaksanakan cadangan gaji minimum baharu itu kerana mereka belum mencapai kestabilan ekoran kejutan ekonomi akibat Covid-19 dan kesan buruk daripada banjir besar baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Lebih banyak usaha sewajarnya dilakukan untuk pemulihan perniagaan dalam sektor swasta di samping mengawal kenaikan kos produk dan perkhidmatan. Kita mesti ingat, kebanyakan perniagaan Malaysia adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan 98.9 peratus berada dalam kumpulan ini.

"Jadi, apabila kita bercakap mengenai gaji dan kos, kita mesti memikirkan kelangsungan dan kemampanan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, PMKS juga telah sedia menderita, dan walaupun berlaku kenaikan kecil dari segi kos perniagaan, ia akan memburukkan lagi nasib mereka dan perniagaan mungkin ditutup, ditambah pula dengan kenaikan RM300/RM400 sebulan selain gaji minimum nasional sedia ada.

Syed Hussain berkata, gaji minimum RM1,500 akan menaikkan kos barangan dan perkhidmatan selain kos operasi justeru, sekarang bukan masanya untuk melaksanakan sebarang kenaikan ke atas gaji minimum.

Iklan

"Gaji minimum RM1,500 kebanyakannya akan diberikan kepada buruh asing memandangkan rakyat tempatan sudah dibayar gaji yang lebih tinggi, ini sekali gus menyebabkan pengaliran keluar wang akan terus meningkat,” katanya.

Beliau memberitahu, seorang pekerja yang gaji semasanya jauh melebihi gaji minimum boleh hilang semangat sekiranya tiada pelarasan gaji.

"Sebarang kenaikan ke atas gaji minimum akan memberi manfaat kepada pekerja yang gajinya lebih rendah daripada kadar gaji minimum kebangsaan baharu dan sebahagian besar daripada mereka adalah pekerja asing,” katanya.

Menurut laporan media semalam, pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung 2022.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri, menurut laporan itu. - Bernama