SHAH ALAM - Dua geng konvoi motosikal masing-masing dari Tanjung Malim, Perak dan Sungai Buloh, Selangor ditahan selepas melakukan lagak samseng jalanan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, pada Ahad.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, aksi berbahaya kumpulan motosikal itu dikesan sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman kira-kira jam 12.10 tengah malam.
Menurutnya, seramai 13 penunggang berjaya ditahan dalam tangkapan berasingan.
"Tangkapan pertama melibatkan lapan penunggang membabitkan kumpulan dari Tanjung Malim yang baru pulang makan di sebuah restoran di Senawang, Negeri Sembilan.
"Tangkapan kedua pula melibatkan lima penunggang yang dipercayai datang dari Sungai Buloh selepas pulang makan di Senawang, Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, dua kumpulan terbabit didapati melakukan aksi 'superman', 'zig-zag', bersaing sesama sendiri serta menundukkan badan.
Katanya, kesemua penunggang berusia 16 hingga 28 tahun terbabit kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut.
"Polis telah menyita semua motosikal jenis Yamaha Y15ZR, Yamaha 135LC dan Honda RS 150R.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.