KOTA BHARU - Penguatkuasaan dan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) terhadap jemaah solat sunat tarawih di negara ini pada bulan Ramadan tahun ini akan dipertingkatkan lagi bagi mengelak kejadian kluster berulang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, SOP solat berjemaah di masjid, surau dan madrasah yang sedia ada ketika ini terbukti berkesan untuk mengekang penularan Covid-19 daripada terjadinya kluster masjid.
Katanya, kita bagaimanapun perlu mengambil pelajaran daripada insiden kluster daripada kumpulan tarawih yang berlaku pada Ramadan tahun lalu akibat tidak mematuhi SOP.
"Jadi, kali ini pihak berkuasa dan kerajaan akan mengiatkan lagi pemantauan supaya jemaah tarawih benar-benar mematuhi SOP ketika solat tarawih dalam bulan Ramadan.
"Setakat akhir-akhir ini, tidak ada kedengaran kluster masjid kerana keberkesanan SOP yang sedia ada dan sebab itu kita mengekalkan SOP itu sehingga ke hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyampaikan Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Ready to Eat dan Musaadah Covid-19 di Kolej Uniti Kota Bharu di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kolej Uniti Kota Bharu, Mohd Shaharom Azmin dan Pengurus Besar Pusat Pentadbiran YaPEIM Kelantan Nik Mohd Nurul Ihsan Salleh.
Ahmad Marzuk berkata, secara umumnya SOP pengurusan masjid dan solat jemaah sedia ada berkesan dan terbukti tidak ada klauster masjid kebelakangan ini.
"Sekiranya ada perubahan dalam masa tempoh dua bulan sambut Ramadan ini akan diumumkan oleh kerajaan.
"Apa-apa pun yang diumumkan nanti terpulang pula pada bidang kuasa agama negeri-negeri untuk mengguna pakai SOP yang berkesan mengikut pandangan bidang kuasa negeri masing-masing,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak berhasrat untuk memperkenalkan SOP khusus bagi ibadah tarawih sempena Ramadan akan datang sebaliknya akan mengekalkan SOP sedia ada.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas berkaitan pasangan suami isteri ada yang bercerai menerusi aplikasi WhatsApp berlaku sejak medium sosial itu diperkenalkan.
"Dari segi hukum, penceraian itu sah namun dari segi akhlak pula adalah tidak bagus bercerai menerusi WhatsApp.
"Suami tidak boleh sewenang-wenangnya mencerai isteri dengan mudah dan sekiranya berlaku perlu hadir ke mahkamah untuk melakukan pengesahan penceraian,” katanya.