Alumni MRSM Besut tubuh tabung biasiswa pelajar B40

Iklan
Muhammad Azwan (kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar pada Majlis Graduasi ke-17 di Dewan Sri Gemilang, MRSM Besut pada Ahad.

BESUT - Pertubuhan Bekas Pelajar MRSM Besut (ALPM) menubuhkan Tabung Biasiswa Khas Alumni kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut yang tergolong dalam kumpulan B40.

Presiden ALPM, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, sebagai permulaan, tabung biasiswa yang mula ditubuhkan pada awal tahun ini akan diberikan kepada tiga pelajar terpilih.

Iklan
Iklan

"Bagi kemasukan baharu nanti, tiga pelajar lain akan dipilih menerima biasiswa ini yang bertujuan mengurangkan beban ditanggung keluarga,” katanya ketika merasmikan Majlis Graduasi ke-17 di Dewan Sri Gemilang, MRSM Besut di sini pada Ahad.

Pada majlis itu, seramai 87 pelajar MRSM Besut diraikan setelah tamat pengajian tingkatan lima dan bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Iklan

Hadir sama Pengetua MRSM Besut, Riza Omar; Pengerusi Badan Muafakat MRSM Besut, Mohd Sabri Abdul Samad; Naib Presiden ALPM, Syarafuddin Mohd Nor dan Ahli Majlis Tertinggi ALPM, Mohd Hakimin Omar Helmi.

Muhammad Azwan yang juga Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, biasiswa itu adalah satu menifestasi hubungan erat antara ALPM dan MRSM Besut dalam membantu dan menyokong kecemerlangan pelajar.

Iklan

Selain itu, beliau turut mengumumkan ganjaran sebanyak RM1,000 kepada pelajar yang berjaya memperoleh keputusan SPM 2021 paling cemerlang sebagai dorongan kepada untuk mencapai kejayaan.

"Kerjasama antara alumni dan pihak pengurusan maktab harus ditingkatkan dan diperkasa sebaik mungkin bagi membentuk senergi yang berterusan sehingga mampu meningkatkan kecemerlangan MRSM dan pelajar.

"Walaupun alumni mungkin hanya salah satu faktor penting yang berperanan dalam meningkatkan kualiti suatu insitusi pendidikan, namun melihat potensi strategik ini, keberadaan alumni perlu diletakkan di tempat sepatutnya.

"Kita juga gembira kerana pada Julai tahun lalu, ALPM telah menyalurkan sumbangan peranti mudah alih kepada pelajar B40 di MRSM Besut dan ini salah satu peranan kita dalam menyokong pendidikan anak-anak,” katanya.