KOTA BHARU - Prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah di masjid, surau dan madrasah yang sedia ada ketika ini terbukti berkesan untuk mengekang penularan Covid-19.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, keberkesanan itu dapat dilihat apabila setakat ini tiada kluster masjid yang wujud.
Katanya, disebabkan itu juga pihaknya mengekalkan SOP berkenaan sehingga ke hari ini termasuk akan mengguna pakai SOP yang sama bagi pelaksanaan solat tarawih pada bulan Ramadan nanti.
"Sebab itu kami kekalkan SOP itu sehingga ke hari ini dan sekiranya ada berlaku perubahan dalam tempoh dua bulan lagi sebelum kita menyambut Ramadan, ia akan diumumkan oleh kerajaan. Sekiranya ada, ia terpulang kepada pandangan majlis agama negeri masing-masing untuk menggunakan SOP yang berkesan.
"Kita juga belajar daripada beberapa insiden yang berlaku pada bulan Ramadan lalu apabila ada kluster daripada kumpulan tarawih yang tidak mematuhi SOP. Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa akan mempergiatkan lagi pemantauan supaya jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kolej Uniti di sini pada Ahad.Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kolej Uniti Kota Bharu, Mohd Shaharom Azmin dan Pengurus Besar Pusat Pentadbiran YaPEIM Kelantan Nik Mohd Nurul Ihsan Salleh.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak berhasrat untuk memperkenalkan SOP khusus bagi ibadah tarawih sempena Ramadan akan datang sebaliknya akan mengekalkan SOP sedia ada.
Sementara itu, dalam perkembangan lain mengulas mengenai trend pasangan menceraikan pasangan menerusi aplikasi WhatsApp, Ahmad Marzuk berkata, penceraian itu sah namun ia tidak bagus dari segi akhlak.
"Dari sudut akhlaknya seorang suami itu tidak boleh sewenang-wenangnya menceraikan isteri dengan cara begitu mudah, Islam mengajar kepada kita, kita ambil cara baik, dan kalau kita nak lepaskan pun kena cara baik.
"Sebab itu ia terdapat dalam khutbah nikah dan dibaca pada setiap majlis perkahwinan. Malah, bagi menjaga kemaslahatan kedua-dua pihak mestilah mengikut prosedur penceraian menerusi mahkamah untuk mendapatkan perakuan cerai yang rasmi,” katanya.