KOTA BHARU - Kerajaan menerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyalurkan bantuan makanan keseluruhannya bernilai RM 74,000 kepada 1,000 siswa dan siswi dalam kalangan asnaf serta keluarga B40 di lima institusi pengajian di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, barangan keperluan asas termasuk makanan kering, makanan sedia untuk dimakan dan daging segar itu diagih melalui Bantuan Musaadah Covid-19 dan Inspirasi Qaseh YaPEIM.
"Secara keseluruhan, YaPEIM menyalurkan bantuan makanan kepada 1,000 siswa dan siswi di lima pusat pengajian di seluruh Kelantan iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Koleh Poly-Tech Mara (KPTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
"Terakhir adalah Kolej Uniti Kota Bharu dengan keseluruhan kos berjumlah RM74,000,” katanya pada ucapan perasmian Program Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Ready to Eat dan Musaadah Covid-19 di Kolej Uniti Kota Bharu di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kolej Uniti Kota Bharu, Mohd Shaharom Azmin dan Pengurus Besar Pusat Pentadbiran YaPEIM Kelantan Nik Mohd Nurul Ihsan Salleh.
Ahmad Marzuk berkata, pihak kerajaan berhasrat meneruskan usaha berkenaan bertujuan membantu rakyat terutama golongan sasar dalam meneruskan kehidupan.
"Golongan sasar ini termasuk juga petugas barisan hadapan, kumpulan rentan dan rakyat yang terjejas punca pendapatan akibat Covid-19.
"Inisiatif yang dilakukan ini diharap dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh golongan itu,” katanya.
Sementara itu, pada program berkenaan, sejumlah 82 penerima yang terdiri daripada 72 siswa dan siswi dari Kolej Uniti Kota Bharu menerima makanan sedia untuk dimakan.
"10 lagi penerima adalah penduduk Kampung Che Deris yang terpilih untuk menerima makanan keperluan asas seperti beras, gula dan gandum bagi membantu menampung kos perbelanjaan makanan bagi keluarga masing-masing,” katanya.