SHAH ALAM –"Jangan jadikan isu rasuah sebagai modal politik murahan jika sudah tidak ada kuasa,” kata Presiden Penaja Parti Integriti Negara Bangsa (Integriti), Datuk Ezam Mohd Noor.
Menurutnya, rasuah adalah masalah paling besar negara ini dan ia bukan baharu berlaku sebaliknya mendakwa bermula sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Saya dipenjarakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) semasa Tun Mahathir berkuasa sebagai Perdana Menteri ke- 4 kerana membongkar dokumen rasuah menteri-menteri di bawahnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamed pada Jumaat mengenai penglibatan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah mahu pastikan kelompok perasuah tidak dapat kuasa.
"Tun Dr Mahathir yang mempunyai kuasa pada masa itu melindungi perasuah dan memenjarakan orang yang melawan rasuah. Itu fakta jelas," ujarnya.
Tegasnya semasa berkuasa, Perdana Menteri ke-4 itu didakwa melindungi perasuah.
"Jangan bila lawan politik kamu buat itu rasuah. Bila kroni, keluarga kamu buat itu bukan rasuah.
"Cukuplah Tun. Kami tahu muslihat kamu. Kami tidak lupa walaupun ramai telah lupa," jelasnya.
Ezam turut meminta Pengerusi Pejuang itu tidak memulakan ‘putar alam’ jika tidak satu persatu pekung dan muslihat beliau akan dibuka di Johor nanti.