SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kerajaan yang sibuk berpolitik untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga tidak memikirkan masalah rakyat ketika kes harian Covid-19 terus melonjak.
"Dia orang (kerajaan) tidak fikir masalah rakyat ini, kita dah kata masalah Covid-19, dia kata dia confident (yakin) jadi akhirnya soal sakit dan masalah kesihatan bukan (menjadi) masalah utama, memang kita berasa kesal.
"10,000 ini bukan nombor, 10,000 ini (jumlah) orang terlibat, bila seorang sakit, keluarga tertekan dan semuanya, anak-anak kita (juga ada) di sekolah," katanya mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19 menjelang PRN Johor.
Anwar yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditemui pada Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor (Serve) di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pembangunan Generasi Belia, Sukan dan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman.
Pada Ahad, kes harian Covid-19 terus melonjak kepada 10,089 kes berbanding 9,117 pada Sabtu sekali gus mencatatkan kes harian paling tinggi dilaporkan tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, perkembangan menjadikan jumlah individu yang sudah dijangkiti virus berkenaan adalah sebanyak 2,914,220 kes.
Sehubungan itu, Anwar mengesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah proaktif kerana lonjakan kes Covid-19 melebihi 10,000 kes menjelang PRN Johor amat membimbangkan.
Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menggesa mereka yang terlibat dalam PRN Johor kelak termasuk ketika mengadakan kempen mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Ketika ditanya adakah SOP bagi PRN Johor perlu diperketatkan berbanding PRN sebelumnya, beliau berkata, ia wajar dilaksanakan namun cara berkempen bagi semua parti bertanding perlu adil.
"Iyalah kalau dah ada pilihan raya, kemudian dia (kerajaan) ketatkan SOP, dia boleh kempen dalam media, kita 'pergi minum kopi' (tidak boleh kempen dalam media), ini politik apa macam ini.
"Jadi bagi saya jangan guna (cara) ini untuk menekan kita, jadi dia bagi ruang dengan syarat-syarat pun boleh, jangan buat macam di (PRN) Melaka, bagi syarat-syarat dalam dewan dan di luar, di kawasan padang tapi dihadkan jumlah, bolehlah (begitu). Mungkin mereka merancang begitu, saya tidak tahu," katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) juga akan berbincang dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dikatakan menyasarkan untuk bertanding lebih 10 kerusi pada PRN Johor kali ini.
"Tak apalah, (perkara) itu (apabila) dibawa kepada saya, saya akan bincang," katanya.