Dua maut, satu cedera nahas di Jalan Pekan-Rompin

Iklan
Dua maut dan satu cedera dalam nahas di Jalan Pekan-Rompin pada Ahad tengah hari.

KUANTAN- Dua maut, satu cedera manakala empat lagi terselamat dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer (KM) 36 Jalan Pekan-Rompin berhampiran Tanjung Batu, pada Ahad.

Mangsa yang maut dalam kemalangan tersebut adalah pemandu kereta Proton Saga, Chaw Jiun Shyan, 56 dan pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Zainong Abdullah, 56, yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Nenasi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, seorang penumpang kereta Perodua Myvi, Yusof Alias, 59, mengalami patah tangan kanan kiri dan paha kiri.

Menurutnya, mereka yang terselamat adalah pemandu kereta Proton Wira, Mohd Azmil Anuar, 32, Mas Zuana Abdull Rahim, 32, Nur Nazira Zaida,19 dan Nur Wardah Ariana Mohd Farid berusia enam tahun.

Iklan

"Siasatan awal mendapati kereta Proton Saga yang datang dari arah Rompin menghala ke Pekan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Kenderaan itu bertembung dengan kereta Perodua Myvi manakala Proton Wira pula merempuh Perodua Myvi kerana tidak sempat menekan brek," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Tambahnya, mangsa cedera kini mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, hasil siasatan awal juga mendapati kemalangan tersebut dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Saga yang memandu secara melulu sebelum terbabas.

"Kemalangan berlaku di jalan berselekoh dan keadaan cuaca pula adalah baik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan memaklumkan kemalangan tersebut melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 kira-kira jam 12.53 tengah hari.

"Komander operasi melaporkan terdapat kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan.

"Seorang mangsa lelaki tersepit dalam kereta Proton Saga dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan manakala seorang wanita yang menaiki kereta Myvi cedera parah namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Zulfadli berkata, seramai empat anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi ke lokasi kejadian dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT).

"Ketika kerja-kerja menyelamat, dua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan Resque Power Unit.

"Mangsa yang telah meninggal di lokasi kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.