GERIK - Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Jalan Gerik-Jeli, berhampiran Tasik Banding di sini pada Ahad.
Dalam kejadian itu, pemandu lori dikenali sebagai Nor Amin Mohamad Ismail, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindannya berusia 38 tahun terselamat.
Pada masa sama, lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak berusia 8, 7 dan 5 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Saga turut dilaporkan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizan Aziz berkata, sepasukan 10 anggota bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.42 petang.
"Operasi digerakkan dengan mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat pemandu. Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 15 minit kemudian.
"Mangsa lain dibawa keluar oleh orang awam sebelum ketibaan bomba," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, mangsa terselamat dihantar ke Hospital Gerik dengan menaiki EMRS dan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.