[VIDEO] Biskut raya mungkin naik harga

Iklan

SHAH ALAM - Orang ramai perlu bersiap sedia dengan kemungkinan biskut raya bakal naik harga susulan kenaikan harga bahan mentah di pasaran.

Pengusaha kedai kek dan biskut, Hafizawati Ahmad, 41, berkata, dia terpaksa menaikkan harga sebanyak RM2 bagi jualan tart nenas dan biskut mazola yang dijual secara borong kepada ejen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kenaikan itu tidak dapat dielakkan susulan tidak dapat menampung kos kenaikan harga barangan terutama bahan membuat biskut dan kek.

"Harga jualan berubah-ubah dan saya ikut rapat harga barangan di pasaran, jika barang naik saya terpaksa naikkan harga, begitu juga sebaliknya.

Iklan

"Tempahan telah dibuka bermula sekarang sehingga Ramadan nanti dan buat masa ini saya telah mula membeli bahan sedikit demi sedikit kerana khuatir bakal berdepan masalah tiada stok," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Perkara sama turut diakui seorang lagi peniaga, Nurul Aini Mohamed Ali, 35, yang mengakui dia juga terpaksa menaikkan harga bagi mengelak menanggung kerugian.

Iklan

"Terpaksa naik harga kerana semua barang bakeri naik harga, kalau kekal harga lama kami pengusaha bakeri hanya dapat penat.

"Itu tidak termasuk upah pekerja, saya tak mampu siapkan tempahan sendirian dengan kuantiti yang banyak dalam masa singkat," jelasnya.

Timah (dua dari kiri) melihat proses pembuatan tart nenas keluaran bakerinya.

Sementara itu, Nurul Aliaa Ismail, 33, berkata, dia masih belum memutuskan untuk menjual biskut raya pada tahun ini disebabkan isu kenaikan harga bekalan.

"Saya tak tahu lagi nak buka tempahan atau tidak tahun ini. Biasanya pada waktu sekarang dah buka tempahan tetapi tahun ini saya masih belum bersedia.

"Hati saya berbolak-balik kerana harga barang naik dan bekalan bahan mentah pun sukar didapati. Jika berniaga mungkin harga biskut terpaksa dinaikkan sekitar RM2 sebalang," katanya.

Bagi pengusaha Hidayah Bakery pula, Timah Mat Noh, 68, berkata, dia cuba bertahan dan masih mengekalkan harga jualan sedia ada.

"Harga barang memang naik tetapi saya cuba kekalkan harga sama sejak 10 tahun lalu.

"Ada 30 jenis biskut dijual sekitar RM20 hingga RM22 berbanding harga pasaran ada yang jual sehingga mencecah RM35 sebalang," ujarnya.