Kisah Rayan satukan hati penduduk dunia

Iklan
Pasukan penyelamat membawa masuk Rayan ke dalam ambulans selepas berjaya mengeluarkan mangsa yang terjatuh di dalam perigi sedalam 32 meter. -Foto AFP

KISAH kanak-kanak malang, Rayan Awram yang terjatuh ke dalam lubang perigi berhampiran rumahnya di perkampungan terpencil Ighrane di wilayah Chefchaouen, Maghribi sejak Selasa lalu mendapat liputan meluas media dunia.

Tidak dapat Merak Jalanan bayangkan kanak-kanak berusia lima tahun berada di kedalaman 32 meter bawah tanah sendirian tanpa ibu bapa bersama menemaninya.

Iklan
Iklan

Biarpun berjaya ditemui pasukan penyelamat, namun kanak-kanak berkenaan menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas diselamatkan dan dibawa ke hospital berdekatan.

Berdasarkan kisah tragis Rayan, kuasa tular media sosial cukup besar di mana orang ramai di seluruh dunia mengetahui tentang kejadian yang berlaku di sebuah kawasan terpencil dengan begitu pantas.

Iklan

Malah tanda pagar #SaveRayan menjadi trending di Twitter dengan orang ramai mengharapkan kanak-kanak tersebut berjaya di bawa keluar dengan segera dan selamat.

Lebih menyentuh hati Merak Jalanan ialah orang ramai di media sosial tanpa mengira agama dan kaum di seluruh dunia bersatu hati mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Rayan.

Iklan

Tidak ketinggalan pemimpin dunia mendoakan dan mengucapkan takziah kepada keluarga kanak-kanak itu termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Melihat kepada senario itu, sebenarnya dunia akan menjadi lebih baik sekiranya majoriti penduduk dunia bersatu hati dalam banyak perkara terutama soal alam sekitar dan kemanusiaan.

Jika bercakap soal alam sekitar, lihat sahaja pencemaran, pembuangan sisa sampah sama ada di darat dan juga di lautan. Dalam soal kemanusiaan pula berapa ramai anak-anak kecil kehilangan ibu bapa angkara peperangan dan isu kebuluran di Afrika.

Seandainya majoriti penduduk dunia bersatu dalam isu Rayan, mengapa tidak untuk isu-isu lain demi kebaikan seluruh manusia di dunia.