KIGALI (Rwanda) - Sekurang-kurangnya 10 orang maut selepas Siklon Tropika Batsirai melanda pantai timur Madagascar pada sebelah malam, kata agensi pengurusan bencana negara itu pada Ahad.
Beberapa mangsa di bandar Ambalavao, kira-kira 460 kilometer (286 batu) di selatan ibu negeri Antananarivo turut maut selepas kediaman mereka runtuh, lapor Agensi Anadolu memetik Biro Pengurusan Risiko dan Bencana Kebangsaan.
Paras air di sepanjang laluan siklon itu dijangka mencapai kemuncak antara Ahad dan Isnin dan amaran banjir telah dikeluarkan bagi sungai Mananjary dan Fiherenana, kata agensi itu.
Menurut laporan awal, 250,000 orang terjejas akibat bencana alam itu.
Kawasan yang paling teruk terjejas adalah tenggara Mananjary, berikutan angin kencang dan hujan memusnahkan rumah dan infrastruktur bangunan, termasuk sekolah dan hospital.
"Siklon Batsirai mendarat berhampiran Mananjary, sekitar 530 kilometer (329 batu) dari Antananarivo, kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan pada Sabtu," kata agensi itu.
Tiupan angin dengan kelajuan 235 kilometer sejam (146 batu sejam) dan ombak tinggi turut melanda kawasan pantai.
Siklon itu semakin melemah apabila bergerak ke kawasan pedalaman, dengan angin kembali pada skala 110km/j (68 mph).
Siklon itu dijangka bergerak ke barat, menghala ke lautan Selat Mozambique pada Ahad dan diramalkan menuju ke selatan, merentasi tanah besar Afrika.
Ia adalah ribut besar kedua selepas Ribut Tropika Ana melanda pulau di Lautan Hindi itu pada bulan lalu yang mengorbankan 55 orang dan menyebabkan lebih 110,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Menurut pakar, kejadian cuaca ekstrem seperti taufan boleh menjadi lebih kerap, berpunca daripada perubahan iklim. - Bernama