SHAH ALAM - Persatuan Rapat Rakyat (Rapat) mahu usahawan muda dipermudahkan untuk memohon lesen perniagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Presidennya, Datuk Mustaffa Kamil Ayob berkata, pihaknya menerima aduan tentang kerumitan proses mendapatkan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT)
Menurut beliau, modal bukanlah masalah utama dalam memulakan perniagaan kecil.
"Apa yang menjadi halangan dan memudarkan semangat mereka adalah faktor birokrasi dalam mendapatkan lesen perniagaan kecil,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, dalam suasana pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdapat ramai insan yang hilang pekerjaan mahupun lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak mendapat pekerjaan.
"Untuk membangunkan usahawan baharu bumiputera amatlah wajar birokrasi mendapatkan lesen dan permit premis perniagaan kecil dipermudahkan,” jelasnya
Tegas Mustaffa lagi, pihak berwajib sewajarnya boleh menyediakan permohonan dan meluluskan permohonan permit secara dalam talian bagi memudahkan kelulusan dan bukan menyusahkan.
"Wujudkan pemantau yang membantu, menyelaras dan ikhlas menjayakan komuniti usahawan kecil bumiputra serta melonggarkan beberapa syarat setempat secara tertib,” ujarnya.
Katanya lagi, Rapat yakin dengan cara tersebut boleh mewujudkan komuniti usahawan baharu yang bermula dari bawah dan mampu menjadi kelompok usahawan berjaya dalam masa terdekat.