Elak hak wanita dicemari agenda LGBT

Iklan

WANITA memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan masyarakat. Penerimaan penglibatan wanita pada zaman kontemporari bukan saja dilihat dalam sektor pekerjaan, malah wanita berkebolehan kian diberi peluang dan pengiktirafan untuk menyumbang ke arah perancangan serta perlaksanaan dasar-dasar di peringkat pentadbiran kerajaan.

Bermula pada tahun 1975, 8 Mac diisytihar sebagai Hari Wanita Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghargai serta meningkatkan kesedaran komuniti antarabangsa terhadap peranan dan keterlibatan wanita.

Iklan
Iklan

Di Malaysia, satu himpunan bersempena Hari Wanita Sedunia 2019 diadakan pada 9 Mac lalu. Ia difahamkan bertujuan menyemarakkan perjuangan hak serta menyatakan bantahan terhadap isu-isu yang menimpa wanita di negara kita ketika ini.

Himpunan di ibu kota yang berarak dari pusat beli belah Sogo menuju Masjid Jamek anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Pembebasan Akademik, All Women's Action Society (AWAM), Persatuan Sahabat Wanita Selangor dan Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) antara lain menuntut jaminan hak dan kebebasan serta peningkatan tahap sosioekonomi berupa gaji minimum bermaruah RM1,800.

Iklan

Walaupun hak untuk berhimpun dilindungi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, himpunan yang turut disertai Womens' Aid Organisation (WAO) dan Sisters In Islam (SIS) dikhuatiri dicemari naratif songsang yang bercanggah dengan norma dan mencabar undang-undang tempatan.

Antaranya, himpunan tersebut mengemukakan tuntutan agar keganasan berdasarkan gender dan orientasi seks dihentikan. Laporan bertajuk"The Status of Women's Human Rights: 24 years of CEDAW in Malaysia" oleh WAO dan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang dianggotai AWAM, EMPOWER dan SIS menimbulkan persoalan.

Iklan

Laporan yang dilancarkan pada 23 Januari itu memetik saranan jawatankuasa Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) agar memansuhkan undang-undang jenayah berdasarkan identiti jantina dan orientasi seks.

Antaranya adalah Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi kesalahan seks luar tabie dan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bagi kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan.

Tambahan pula, laporan mendesak agar pihak berkuasa khususnya jabatan agama Islam tidak menahan, mendiskriminasi dan melakukan keganasan terhadap golongan transgender walaupun melibatkan penguatkuasaan enakmen jenayah syariah. Ia turut mendakwa hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah terhadap wanita sebagai satu bentuk keganasan.

Oleh itu, tidak hairan terdapat poster mempromosi himpunan dengan tanda pagar #womensmarchmy memaparkan catatan mengenai dua wanita yang dihukum sebat oleh mahkamah syariah di Terengganu tahun lalu kerana kesalahan percubaan musahaqah atau seks sesama perempuan.

Kecelaruan naratif perjuangan hak wanita oleh penganjur dan peserta dalam kalangan NGO tersebut dizahirkan dengan laungan"Hidup LGBT" oleh peserta-peserta pada beberapa ketika semasa perarakan berlangsung.

Bahkan, laungan tersebut berkemungkinan berbaur hasutan dan penderhakaan kepada Sultan Selangor yang bertitah agar isu LGBT ditangani pihak kerajaan dan penguasa agama bagi memelihara kemuliaan Islam. Perbuatan sedemikian sama sekali tidak mengambil peduli titah baginda pada 3 Mac lalu ketika Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid di Selangor.

Normalisasi gaya hidup LGBT berada pada tahap membimbangkan apabila terdapat segelintir majikan atau ejen mencari pekerja yang tergamak meletakkan syarat mengenai orientasi seksual khususnya LGBT secara terbuka dalam iklan menawarkan pekerjaan. Ironinya, pendukung dan aktivis LGBT menuntut peluang sama rata bagi semua.

Sebaliknya, perhatian harus diberikan kepada perjuangan hak wanita khususnya beragama Islam dan berhijab yang berdepan diskriminasi melampau. Sentimen Islamofobia dalam kalangan majikan cukup membimbangkan walaupun kita menempa era Malaysia Baharu kerana wanita berhijab dinafikan hak mengamalkan agama mereka.

Pendedahan terbaharu oleh sebuah firma kajian bebas, Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) menunjukkan bahawa diskriminasi terhadap wanita berhijab masih menebal dalam sektor swasta.

Kajian yang bertajuk 'Rasisme dalam Pengambilan Pekerjaan: Kajian Berat Sebelah Berasaskan Kaum untuk Kerjaya Permulaan di Malaysia' oleh Cent-GPS mendapati bahawa pemohon dalam kalangan wanita Melayu tidak berhijab merekodkan kadar panggilan temu duga lebih tinggi berbanding wanita Melayu berhijab walaupun semua graduan memiliki kelayakan yang sama.

Bagi menangani isu-isu berkaitan wanita, kerajaan harus melaksanakan kajian implikasi sebelum memperkenalkan sesuatu polisi mahupun undang-undang serta merujuk pemegang taruh daripada pelbagai latar belakang termasuk mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Ini kerana desakan untuk mewujudkan Akta Kesaksamaan Gender berpotensi mengakibatkan negara kita terjerumus dalam kemelut perundangan yang lebih sukar ditangani.

Selain itu, pemansuhan undang-undang jenayah berkaitan identiti jantina dan orientasi seks bakal membuka ruang pengiktirafan LGBT dengan mengabaikan ajaran agama. Oleh itu, perjuangan isu wanita berlandaskan ideologi liberalisme hendaklah ditangani dari sudut pandangan Islam.

Sesuai dengan kempen Hari Wanita Sedunia 2019 iaitu #BalanceforBetter, Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USIM) Dr Nur Saadah Khair menyimpulkan betapa hak wanita perlu diperjuangkan secara sama rata mengikut syariah Islam.

Beliau yang juga Exco Dakwah Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) turut menegaskan agar mesej keseimbangan yang dibawa perlu diterjemahkan dengan bahasa wahyu, bukan bahasa nafsu.

Semoga dengan sikap berhati-hati, teliti dan peka di pihak kerajaan mampu menjamin usaha memperkasa dan melindungi wanita yang tidak tercemar dek naratif songsang dan agenda LGBT.

* Penulis ialah Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)