KOTA BHARU - Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) merupakan 'ubat' terbaik untuk melawan jangkitan Covid-19 yang dijangka naik di Kelantan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, setiap kali cuti dan berlaku mobilisasi manusia terutama dari luar Kelantan yang masuk ke negeri itu dalam jumlah yang ramai, secara automatik kes akan merebak.
"Itu fakta yang tidak boleh ditolak. Kita bukan nak salahkan sesiapa. Tetapi hasil pergerakan rentas negeri kes akan menjadi naik. Situasi itu dapat dilihat pada peringkat awal jangkitan Covid-19 lagi," katanya kepada pemberita sebagai mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19, pada Isnin.
Menurutnya, peningkatan itu disebabkan oleh aktiviti ziarah serta program keramaian yang menyaksikan SOP gagal dipatuhi.
Beliau berkata, kerajaan negeri menjangkakan kes jangkitan Covid-19 di Kelantan terus naik mencanak sekiranya rakyat terus lalai tidak mematuhi SOP.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, walaupun jumlah kemasukan ke hospital dan PKRC akibat jangkitan Covid-19 masih rendah namun ia bukan tiket untuk tidak mematuhi SOP.
"Kerajaan negeri berharap rakyat terus mematuhi SOP dalam apa jua keadaan bagi memutuskan rantaian jangkitan.
"Selain itu, rakyat di negeri ini disaran untuk berdoa dan bermunajat kepada ALLAH supaya wabak ini segera hilang," katanya.