PEMINAT sukan permotoran tanah air mungkin terpaksa melupakan seketika impian melihat kelibat pelumba Malaysia beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Ini selepas prinsipal pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP Racing Team, Datuk Razlan Razali memberi bayangan tiada seorang pun pelumba tempatan berpotensi menyertai pasukannya ketika ini.
"Jika ada pelumba Malaysia yang berpotensi dan berbakat, sudah tentu kita akan fikirkan dan ambil.
"Saya tak nampak dalam masa terdekat kita ada pelumba, bukan sahaja MotoGP malah saingan Moto2 dan Moto3 pun saya tak nampak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Malaysia sebelum ini mempunyai wakil menerusi Hafizh Syahrin Abdullah yang pernah beraksi selama lapan musim dalam saingan MotoGP termasuk untuk kelas perdana pada 2018 dan 2019, sejak menjadi pelumba sepenuh masa pada 2014.
Pelumba berusia 27 tahun yang kali terakhir beraksi dalam MotoGP bagi saingan Moto2 tahun lepas kini mencuba 'angin baharu’ apabila akan membuat penampilan sulung pada Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) bersama pasukan Mie Racing Honda untuk musim 2022.
Sementara itu, walaupun masih ‘mentah’ dalam saingan MotoGP, Razlan percaya tidak mustahil bagi pasukannya yang merupakan pendatang baharu dalam perlumbaan berprestij kali ini untuk melakar kejutan pada musim 2022.
Mana tidaknya, Razlan sebelum ini pernah membawa Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) mencatat kejayaan membanggakan dengan merangkul gelaran pasukan ‘Independent Teams’ terbaik pada pada musim 2019 dan 2020.
Razlan juga percaya pasukannya yang memiliki pelumba berpengalaman, Andrea Dovizioso selaku naib juara tiga kali berturut-turut pada 2017, 2018 dan 2019 selain Darryn Binder yang ‘diangkat’ daripada saingan Moto3 ke MotoGP mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain bagi musim 2022.
"Kalau dilihat, memang sukar tapi tidak mustahil kerana saya yakin apa dibuat pada 2019 dan 2020 (Petronas Yamaha SRT) boleh diulangi.
"Kita ada jentera yang bagus selain dilengkapi pelumba berpengalaman (Dovizioso) dan pelumba muda berpotensi (Binder) yang mampu memberikan tunggangan terbaik musim baharu ini,” katanya.
Beliau pada masa sama berkata, penyandang juara, Ducati Lenovo Team diikuti Monster Energy Yamaha MotoGP serta Repsol Honda Team merupakan pencabar utama bagi merebut gelaran pasukan terbaik musim ini.
Pasukan Razlan akan meneruskan aksi pramusim berikutnya di Litar Mandalika, Indonesia pada 11 hingga 13 Februari ini selepas baharu sahaja tampil beraksi pada Ujian Musim Sejuk 2022 di Litar Antarabangsa Sepang pada 5 dan 6 Feberuari lalu.
Perlumbaan MotoGP 2022 akan membuka tirai pada 4 hingga 6 Mac di Litar Antarabangsa Losail, Qatar. - Bernama