MALAYSIA berkemungkinan besar hanya diwakili kontinjen yang sangat kecil pada Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo (Surakarta), Indonesia bermula 20 hingga 31 Julai ini.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, ia berikutan beberapa kekangan seperti bajet, kesuntukan masa untuk mempersiapkan kontinjen serta kebimbangan mengenai keselamatan atlet susulan varian Omicron.
Menurutnya, keputusan mengenai penyertaan ke temasya berkenaan hanya akan diputuskan selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), jika Indonesia disahkan sebagai penganjur temasya berkenaan pada 17 Februari ini.
Megat D Shahriman berkata, dengan peningkatan kes varian Omicron di seluruh dunia dan angka harian di Malaysia mencecah 10,000 kes pada Ahad, pihaknya tidak mahu meletakkan atlet dalam risiko.
"Kita tidak menyokong penganjuran ini pada mesyuarat bulan lepas kerana (pada ketika itu) Indonesia masih dalam senarai ketidakpatuhan WADA (Agensi Anti-Doping Dunia) dan ini (penganjuran) pada saat akhir.
"Tahun ini kita ada banyak kejohanan utama seperti Sukan Komanwel di Birmingham, Sukan Para Asia di Hangzhou dan beberapa kejohanan kelayakan ke Paralimpik Paris 2024, jadi kita kena pilih keutamaan,” katanya selepas merasmikan kursus ‘Fitness and Exercise for Person with Disabilities’ di UiTM Puncak Alam pada Isnin.
Lembaga Gabenor (BoG) Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) pada bulan lepas, memberikan kebenaran bersyarat bagi Indonesia menganjurkan temasya berkenaan, selepas Vietnam membatalkan penganjurannya tahun lalu.
Kebenaran itu adalah bersyarat dan tertakluk kepada Indonesia dikeluarkan daripada sekatan yang dikenakan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) susulan 'ketidakpatuhan' dalam melaksanakan program ujian secara berkesan.
Menurut kenyataan media APSF pada bulan lepas, BoG akan mengadakan mesyuarat khas pada 17 Februari untuk membincang dan memastikan bahawa semua syarat termasuk prosedur COVID-19 yang ketat dipenuhi sebelum Indonesia diumumkan secara rasmi sebagai tuan rumah APG.
Namun, pada Khamis lalu, WADA menarik balik sekatan ke atas Indonesia dan Thailand apabila nama negara tersebut dikeluarkan daripada senarai ketidakpatuhan dengan hanya Korea Utara dan Rusia menjadi negara yang masih kekal dalam senarai itu.
Sementara itu, Megat D Shahriman berkata, 26 peserta menyertai kursus selama enam hari tajaan Toyota dengan sokongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, yang bakal menerima sijil kejurulatihan tahap ketiga.
"Kursus begini merupakan langkah penting bagi MPM memperkasakan jurulatih untuk mencari dan melatih bakat di peringkat akar umbi yang berpotensi menjadi jaguh dunia."Selepas ini kita akan anjurkan di Alor Setar pada awal Mac dan Kuching pada lewat Mac... harap dapat tarik sekitar 300 peserta secara keseluruhan,” ujarnya. - Bernama