KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak mahu rakyat negeri ini membuang sampah sepanjang masa ke dalam tong-tong yang disediakan sebaliknya disaran berbuat demikian bermula jam 5 petang hingga 10 pagi setiap hari.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, tempoh tersebut mampu membantu melancarkan kerja-kerja pungutan sampah sekali gus mengatasi masalah lambakan bahan itu.
"Apabila buang ikut masa yang telah ditetapkan kita akan lihat tong-tong sampah akan kosong dan bersih. Situasi itu sekali gus tidak menyakitkan pemandangan di kawasan tong-tong sampah.
"Jika hendak buang (sampah), tunggu pada jam 5 petang hingga 10 pagi," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sumbangan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) serta Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Parlimen Pengkalan Chepa 2022 pada Isnin.
Menurutnya, jika tabiat itu diubah ia akan membantu mewujudkan satu persekitaran yang bersih di tong-tong sampah.
Beliau berkata, gerak kerja memungut sampah juga akan menjadi lebih mudah dengan sokongan padu daripada masyarakat.
Dr Izani berkata, pihaknya turut kecewa dengan tindakan segelintir individu yang bertindak membakar tong-tong sampah.
"Tindakan itu akan merugikan semua pihak termasuk kerajaan disebabkan kerana bukan sahaja tong, malah rumah sampah turut terbakar," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu turut menyeru supaya masyarakat bersikap cakna dengan menjaga harta kerajaan dan kemudahan yang disediakan kerajaan.
Katanya, kelengkapan yang disediakan itu adalah untuk kemudahan dan keselesaan rakyat.