KUALA LUMPUR - Dianggarkan 30,000 majikan tempatan kini berdepan kesukaran mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah warga asing sejak tahun lalu susulan penutupan pintu sempadan negara akibat pandemik Covid-19.
Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi berkata, keadaan itu akan bertambah sukar sekiranya rundingan pengambilan pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dijadualkan esok ditangguhkan.
"Sekitar 600 agensi pembantu rumah di bawah lesen kategori B dan C ingin mengambil pembantu rumah asing untuk bekerja di Malaysia di mana sekurang-kurangnya terdapat 50 permintaan dalam senarai menunggu bagi setiap satu agensi.
"Ini permintaan yang banyak kerana di saat negara sedang dalam proses Pelan Pemulihan Negara, orang sudah mula kembali bekerja jadi bagaimana mereka ingin menjaga orang tua dan anak-anak yang sebelum ini dijaga sendiri,” katanya.
Malah beliau berkata, terdapat keluarga yang berdepan kesukaran untuk memantau anak yang menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas sekolah mereka ditutup akibat berlaku penularan Covid-19.
Yong Hooi berkata, sekiranya isu pengambilan pembantu rumah tidak dapat diselesaikan segera, ia akan menjejaskan produktiviti pekerja dan seterusnya memberi kesan kepada usaha pemulihan ekonomi negara ketika ini.
Justeru beliau berharap kerajaan tidak menangguhkan dan segera memuktamadkan MoU bersama Indonesia serta membuka kemasukan bagi negara sumber lain seperti Filipina untuk memenuhi kehendak majikan yang terdesak ketika ini.
Pada Ahad akhbar tempatan memetik kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang berkata, terdapat beberapa isu berbangkit yang menyebabkan kelewatan pemeteraian MoU pengambilan pembantu rumah dari Indonesia.
"Kita (Malaysia) sudah selesaikan isu membawa masuk tenaga asing dari Bangladesh, namun untuk isu pembantu rumah Indonesia, terdapat sedikit kekangan di Jakarta. MoU yang sepatutnya berlangsung 8 Februari ini berkemungkinan juga terlewat disebabkan isu berbangkit,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berharap penangguhan itu tidak berpanjangan bagi mengelakkan majikan tempatan menggaji pekerja asing sebagai pembantu rumah secara haram.
Keadaan itu katanya, akan meningkatkan risiko keselamatan rakyat terutama warga emas dan kanak-kanak yang dijaga oleh pekerja tidak bertauliah, apatah lagi setelah negara berdepan pelbagai masalah akibat penularan Covid-19.
Bagi menggalakkan pekerja tempatan bekerja di sektor itu, Engku Ahmad Fauzi mencadangkan kerajaan membenarkan penggajian pembantu rumah secara harian yang lebih praktikal dan memberi privasi kepada pekerja tersebut.
"Kalau dibenarkan boleh balik hari, majikan hanya perlu membayar mengikut hari bekerja sahaja. Sekarang ada yang menjalankan cara begini tetapi tidak secara rasmi jadi pihak berwajib perlu mencari idea bagaimana boleh menarik minat rakyat tempatan bekerja di sektor ini,” katanya. - Bernama