Air cetek: Kementerian lantik kontraktor lakukan pengerukan

Iklan
Feri Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis diberhentikan oeprasi buat sementara waktu bagi tempoh 10 hingga 13 Februari ini.

SHAH ALAM – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui agensinya, Jabatan Laut Malaysia (JLM) telah mengambil langkah serta-merta melantik kontraktor melalui perolehan darurat untuk tujuan pengerukan di lembangan (basin) jeti susulan tularnya feri Langkawi-Kuala Perlis tidak dapat belayar pada 2 Februari lalu mengikut jadual yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerja-kerja pengerukan tersebut telah mula beroperasi pada 6 Februari dan akan berakhir pada 20 Februari 2022.

Iklan
Iklan

"Sebagaimana maklumat yang tular di media sosial, feri Langkawi-Kuala Perlis tidak dapat belayar disebabkan air alur pelayaran Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis telah surut di bawah paras 1.6 meter.

"Perkara ini telah menyebabkan feri-feri yang beroperasi hanya boleh merapat dan belayar apabila air pasang.

Iklan

"Insiden ini telah menyebabkan kelewatan ketibaan feri dari Jeti Kuala Perlis dan seterusnya menyebabkan impak kesesakan di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Ka Siong, JLM telah melaksanakan kerja-kerja pengerukan alur pelayaran dengan panjang alur yang dikeruk adalah 5.6 kilometer pada kedalaman 2.0 meter chart datum (CD) di Jeti Kuala Perlis semenjak Ogos 2018 hingga Mac 2019 dengan kos keseluruhan berjumlah RM13.8 juta bagi mengatasi masalah mendapan yang sering berlaku di terminal tersebut.

Iklan

"Kerja-kerja pengerukan secara berkala yang dilaksanakan oleh JLM bukan sahaja telah meningkatkan keselamatan pelayaran feri penumpang, nelayan dan pengusaha bot di perairan tersebut, malah telah memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat bagi mengatasi fenomena air pasang besar yang menyebabkan limpahan air laut dan berlakunya banjir di Kuala Perlis dan kawasan setempat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bagi mengatasi kadar pemendapan yang tinggi, Projek Kerja-Kerja Pengerukan di Alur Pelayaran dan Lembangan (basin) Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis telah disenaraikan dan diluluskan sebagai keutamaan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

"JLM kini dalam proses menjalankan kerja pengerukan yang lebih menyeluruh meliputi pengerukan mendalamkan di lembangan (basin) hadapan Jeti Kuala Perlis dan juga alur pelayaran sepanjang sembilan kilometer pada kedalaman 4.0 meter CD dan 70 meter lebar.

"MOT yakin kerja-kerja dapat diselesaikan dalam kadar seberapa segera demi memastikan kelancaran perkhidmatan feri beroperasi untuk keselesaan serta kesinambungan pergerakan pengangkutan maritim dalam sektor Langkawi-Kuala Kedah-Kuala Perlis,” ujarnya.