Warga emas hilang ditemui kesejukan, tak henti berzikir

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

LARUT - Seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan kesejukan dengan mulutnya tidak henti berzikir dalam operasi mencari yang dijalankan di Felda Ijok, Selama pada Ahad.

Abdullah Ibrahim, 74, atau dikenali sebagai Pak Long Dollah berjaya ditemui di sebuah ladang kelapa sawit kira-kira jam 11.30 malam selepas lebih 11 jam disedari hilang.

Iklan
Iklan

Anaknya, Mohamad Syahir, 29, berkata, dia terus meninggalkan kerjanya sebagai jurugambar perkahwinan selepas diberitahu ayahnya tidak pulang ke rumah untuk makan tengahari.

"Dalam jam 4.30 petang saya tiba di rumah dan terus melakukan pencarian bersama penduduk kampung di ladang seluas 10 ekar itu.

Iklan

"Usaha dilakukan tidak menemui ayah atau motosikalnya tetapi saya tahu dia sudah keluar dari ladang kerana baldi yang digunakan sudah terbalik untuk dikeringkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Menurutnya, keluarganya bersyukur selepas ayah berjaya ditemui tanpa mengalami sebarang kecederaan meskipun dua kali terjatuh motosikal dalam kejadian itu.

Iklan

"Ayah cerita yang dia berjalan kaki lebih satu kilometer selepas gagal mengangkat motosikalnya. Dia rasa jalan yang dilaluinya itu betul menuju ke rumah, sebaliknya ia jalan berbukit yang jarang dilalui.

"Ayah juga cuba hilangkan rasa sejuk dengan berteduh di bawah kereta sorong yang diterbalikkan sambil mengingati ALLAH. Penduduk juga beritahu ketika ayah ditemui dia sedang berzikir," katanya.

Mohamad Syahir menolak kerusi roda ketika ayahnya, Abdullah mendapatkan rawatan di Hospital Selama. - Foto Facebook Caey Shahir

Kata Mohamad Syahir, pasukan penyelamat terus bawa ayah ke Hospital Selama sebaik dijumpai untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

"Saya ingat lagi ketika jumpa ayah dalam kereta malam tadi, ayah sebak selain keadaannya yang lemah kerana kesejukan dan kelaparan.

"Terima kasih kepada pasukan penyelamat dan penduduk kampung yang bersusah payah mencari ayah hingga dia berjaya ditemui. Ayah kini sudah sihat," katanya.

Media melaporkan operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan selepas menerima laporan polis pada jam 6.32 petang.

Pencarian jtu melibatkan 33 pegawai dan anggota daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 30 penduduk kampung.