KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menarik sokongan terhadap kerajaan Pusat kerana memikirkan kepentingan rakyat.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia meskipun ada serangan daripada segelintir pemimpin UMNO yang mahukan perkara tersebut (tarik sokongan) berlaku dan keputusan itu disifatkan sebagai kebijaksanaan luar biasa diambil Bersatu.
"Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlaku jika partinya menarik sokongan terhadap kerajaan dan keadaan ini pasti mengundang kebimbangan rakyat memandangkan jangkitan Covid-19 masih tinggi ketika ini.
"Walaupun dalam situasi tidak berapa menyeronokkan (didesak tarik sokongan kepada kerajaan) tetapi Bersatu memikirkan soal kepentingan rakyat, kepentingan negara supaya rakyat tidak terkorban disebabkan langkah bodoh untuk bertindak seperti itu (jatuhkan kerajaan).
"Adakah wajar dalam keadaan seperti ini saya memikirkan kepentingan saya, kepentingan parti sedangkan ia tidak disukai rakyat (bertukar kerajaan)," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan Malaysia (MPDP), pada Isnin.
Hadir sama, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Muhyiddin, mengulas mengenai Bersatu yang tidak menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meskipun ketika ini berlaku permusuhan dengan UMNO.
Tambah Muhyiddin, keutamaan Bersatu adalah keselamatan rakyat supaya mereka tidak menjadi kerakusan kepada pemimpin politik tertentu.
Muhyiddin sejak kebelakangan ini kerap 'diserang' pemimpin UMNO yang dilihat seolah-olah mahukan bekas Perdana Menteri itu menarik sokongan terhadap kerajaan ketika ini.
Terbaharu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dikritik oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mendakwa dirinya mengkhianati UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hingga menggagalkan Muafakat Nasional (MN).