Op Selamat 17, Selangor rekod 2,810 kemalangan

Iklan
Arjunaidi

SHAH ALAM - Sebanyak 2,810 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Selangor dalam Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 yang bermula dari 28 Januari hingga 6 Februari.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, daripada jumlah itu, 404 kemalangan berlaku di lebuh raya; 219 kemalangan di jalan Persekutuan; 362 kemalangan di jalan negeri; 1,629 kemalangan melibatkan jalan bandaran dan 196 kemalangan di lain-lain jalan.

Iklan
Iklan

"Statistik itu menunjukkan penurunan sebanyak 1,374 kes. Dalam Op Selamat 16 Tahun Baharu Cina 2020, sebanyak 4,184 kemalangan direkodkan bagi tempoh sama.

"Bagi kes kemalangan maut pula, sebanyak 21 kes direkodkan iaitu 19 kes membabitkan penunggang motosikal dan masing-masing satu kes melibatkan pemandu kereta dan pejalan kaki.

Iklan

"Jumlah ini juga menunjukkan penurunan sebanyak satu kes yang mana Op Selamat 16 merekodkan 221," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Sementara itu kata Arjunaidi, sebanyak 34,329 saman membabitkan enam kesalahan utama direkodkan setakat ini.

Iklan

"Antara kesalahan utama berkenaan adalah memandu melebihi had laju (33,252 saman); tidak patuh lampu isyarat (713); menggunakan alat komunikasi ketika memandu (304); memotong barisan (45); memotong garisan berkembar (8) dan memandu di lorong kecemasan (7)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti juga menggerakkan elemen seperti Unit Kereta Peronda (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan perumahan ditinggalkan sempena musim perayaan tersebut.

"Sepanjang 10 hari perlaksanaan Op Selamat 17, tiada laporan polis diterima berkaitan kes pecah rumah melibatkan orang ramai yang mengisi Borang Balik Kampung melalui aplikasi volunteer smartphone patrol (VSP) atau balai polis," katanya.