Tembok rumah runtuh hempap Myvi

Iklan
Keadaan kereta mangsa yang dihempap tembok rumah runtuh (Ihsan Bomba). Gambar kecil: Lucy
SEREMBAN - Kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita dihempap tembok sebuah rumah yang runtuh dalam kejadian di Jalan Limbok di sini, pada Isnin.

Bagaimanapun wanita berusia 50 tahun itu sempat keluar dari kenderaannya.

Sepupu mangsa, Lucy Ratnam, 60, berkata, ketika kejadian, sepupunya itu memandu kereta tersebut untuk pergi ke gimnasium.

"Saya pula baharu sampai rumah dan ketika mahu turunkan barang dari kereta, saya terdengar bunyi dentuman kuat.

"Tiba-tiba sepupu saya telefon dan beritahu kereta dia dihempap tembok runtuh dan saya segera ke lokasi untuk melihat keadaan dia," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, pada Isnin.

Menurut Lucy, dia bersyukur kerana sepupunya itu selamat dan sempat keluar dari kenderaan.

"Keluarga telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu namun masih belum berbincang untuk menuntut ganti rugi.

"Saya tidak kenal tuan rumah tersebut tapi sejak tembok itu dibina saya memang tak berani untuk menggunakan laluan itu kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

"Kebetulan ahli keluarga saya pula jadi mangsa. Nasib baik dia pandu kereta, kalau motosikal saya rasa sudah hancur," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap pihak Majlis Bandaraya Seremban(MBS) mengambil tindakan sewajarnya kerana pemilik rumah membuat pembinaan yang memberi risiko.