KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin berkenan menghadiri majlis sempena Program ‘Ekspedisi Untukmu Barisan Hadapan Ke Gunung Kinabalu’ di Menara Kuala Lumpur.
Kehadiran Seri Paduka Baginda bertujuan menyokong usaha Persatuan Suri dan Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (Perisma) yang akan ke gunung tersebut sebagai simbolik menghargai pengorbanan anggota bomba dalam membendung penularan wabak Covid-19.
Hadir sama pada majlis tersebut, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan timbalannya, Datuk Ali Biju.
Ekspedisi anjuran Kelab Media Pahang itu dijadual pada 16 hingga 22 Februari ini yang akan disertai bersama Kelab Media Kuala Lumpur melibatkan keseluruhan 80 orang.
Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin berkata, misi pendakian itu bertujuan mendidik isteri anggota bomba tentang penat lelah suami mereka dalam melaksanakan tugas sebagai petugas barisan hadapan.
"Suami mereka (anggota bomba) telah membantu negara dalam membendung Covid-19. Jadi Perisma mengambil inisiatif untuk menghargai (jasa) dengan ikut naik mendaki sebagai menyelami susah payah suami mereka selama ini,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis berkenaan. - Bernama