SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengingatkan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, kementerian itu memaklumkan, calon SPM boleh memuat naik jadual waktu peperiksaan menerusi laman web rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) di http://lp.moe.gov.my.
"Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
"Calon juga perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM serta prosedur operasi standard Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Ketetapan ini adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19. Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my,” kata kenyataan itu.
Ujian Bertutur bagi subjek Bahasa Melayu akan berlangsung pada 8 hingga 10 Februari ini melibatkan 401,927 calon seluruh negara.
Ujian Bertutur subjek Bahasa Inggeris pula akan berlangsung pada 22 hingga 24 Februari melibatkan 401,087 calon manakala Ujian Mendengar bagi kedua-dua subjek akan diadakan pada 21 Februari.
Ujian Amali Sains bagi subjek Fizik, Kimia dan Biologi akan diadakan pada 15 Februari manakala bagi subjek Sains Tambahan pada 17 Februari ini.
"Sehubungan itu, sebanyak 3,382 buah pusat peperiksaan bagi Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) serta Ujian Amali Sains peperiksaan SPM 2021 disediakan di seluruh negara.
"Seramai 50,514 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan pada tahun ini,” katanya.