JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan memaklumkan murid atau pelajar, guru serta kakitangan sekolah yang dimasukkan ke hospital akibat bencana pencemaran sisa bahan kimia di Pasir Gudang, akan mendapat pampasan.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan sekolah terlibat akan menguruskan proses mendapatkan pampasan tersebut yang berbentuk insurans takaful itu.
Iklan
Iklan
"Jadi mana-mana anak murid termasuk guru sendiri yang telah dimasukkan hospital, mereka hanya perlu membawa bukti rawatan dan insya ALLAH, pihak sekolah dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri akan membantu sekolah untuk menguruskan urusan urusan tersebut.
"Kita akan pastikan mereka mendapat pampasan berbentuk insurans takaful,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke atas mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sebentar tadi.
Maszlee berkata, setakat hari ini, lima pesakit yang merupakan keluarga Kementerian Pendidikan terdiri daripada murid atau pelajar dan guru masih mendapatkan rawatan di HSA.
"Saya percaya beberapa hari lagi, Insya-ALLAH semakin ramai yang akan boleh keluar dari hospital dan dibenarkan pulang.
"Kita berharap supaya yang dibenarkan pulang itu dapat terus menjaga dan memantau kesihatan mereka,” katanya.