PEMAIN Manchester United, Mason Greenwood tidak lagi ditaja oleh Nike, kata gergasi pakaian sukan itu pada Isnin, selepas penyerang The Red Devils itu ditahan kerana disyaki merogol dan menyerang seorang wanita.
Greenwood turut ditahan kerana disyaki melakukan serangan seksual dan membuat ugutan untuk membunuh, namun dibebaskan dengan ikat jamin minggu lalu sementara menunggu siasatan lanjut.
Bagaimanapun pemain berusia 20 tahun itu masih digantung kelab Liga Perdana Inggeris tersebut sehingga diberitahu kelak.
Pada minggu lalu, Nike turut menangguhkan kerjasama dengan Greenwood kerana bimbang dengan dakwaan tersebut.
Namun perkembangan terkini menyaksikan nama bintang muda itu tidak lagi menjadi ahli keluarga jenama tersebut.
"Mason Greenwood bukan lagi seorang atlet Nike," kata Nike dalam satu kenyataan.
Dakwaan terhadap Greenwood, termasuk video, gambar dan nota suara sebelum ini disiarkan di Instagram sebelum dipadamkan.
Dia pertama kali ditangkap pada 30 Januari lalu dan diletakkan dalam tahanan polis sebelum dibebaskan pada 2 Februari.