EVERTON perlu mengharungi baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan tenang dalam usaha mengelak zon penyingkiran kerana perlawanan menentang Newcastle United dan Leeds United bukan aksi yang mudah buat The Toffees, kata pengendali Frank Lampard.
"Kami perlu bertenang kerana perjalanan masih jauh lagi. Saya datang ke sini dengan baki 18 perlawanan, jadi untuk meletakkan segala-galanya dalam dua perlawanan ini merupakan sikap yang kurang baik," kata Lampard menjelang kunjungan ke St James Park menentang Newcastle pada Rabu.
Everton, yang berada dalam saingan teratas sejak 68 tahun lalu, melantik Lampard sebagai pengganti Rafa Benitez minggu lalu untuk membantu The Toffees mengelak zon penyingkiran selepas kelab Merseyside itu menduduki tempat ke-16 setelah mengharungi 20 perlawanan - empat mata di luar zon kritikal.
Sementara itu, Everton terpaksa melupakan khidmat tonggak pertahanan Ben Godfrey sehingga Mac depan selepas pemain tersebut mengalami kecederaan hamstring semasa The Toffees melakar kemenangan ke atas Brentford dalam pusingan keempat Piala FA pada Sabtu.
Dalam pada itu, Lampard juga mempertahankan tindakan pemain baharu Everton, Dele Alli selepas pemain tengah itu dikritik hebat bekas pengurus England, Glenn Hoddle kerana pilihan pakaiannya ketika dirai di Goodison Park berikutan perpindahannya dari Tottenham Hotspur.
Jelas Lampard, dia tidak akan 'menggari personaliti' pemainnya sambil menambah:"Saya tidak kisah kereta apa yang dia pandu, pakaian apa yang dia pakai, asalkan saya mendapat seorang pemain yang datang ke latihan setiap hari, dan mahu memperbaiki permainan setiap hari. Harus diingat masa berlalu, zaman berubah."
Skuad kendalian Lampard bakal menentang Newcastle United yang menduduki tempat kedua dari bawah zon penyingkiran dengan 15 mata selepas mengharungi 21 perlawanan.
Dalam pada itu, pengendali The Magpies, Eddie Howe menegaskan tidak akan mengambil mudah perlawanan penting berkenaan.
"Saya tidak sesekali akan berkhayal dalam mengendali kelab besar ini, malah akan sentiasa bersedia dalam setiap perlawanan.
"Frank mempunyai falsafahnya yang terbukti ketika menentang Brentford. Mereka mempunyai unit yang kuat, jadi kami perlu lakukan terbaik untuk menang," kata Howe.
Untuk rekod, Newcastle United menandatangani lima pemain baharu pada perpindahan pemain untuk meningkatkan peluang The Magpies kekal dalam saingan elit.
Howe telah menggunakan khidmat Kieran Trippier dan Chris Wood ketika berdepan Watford dan Leeds United, manakala Matt Targett, Dan Burn dan Bruno Guimaraes sedang menunggu penampilan sulung masing-masing.