Dibayar RM2,000 jadi operator judi online

Iklan
Antara operator perjudian yang ditahan dalam serbuan di unit kondominium di Taman Pinggiran Putra, Serdang pada Isnin.

SERDANG - Sindiket perjudian dalam talian yang mengupah warga tempatan dengan bayaran RM2,000 sebulan sebagai operator perjudian dibongkar dalam serbuan di sebuah kondominium di Taman Pinggiran Putra di sini pada Isnin.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner R Supramaniam berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor dibantu D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Iklan
Iklan

"Operasi kira-kira jam 10.15 malam itu berjaya menahan enam warga tempatan termasuk seorang wanita berusia 21 hingga 36 tahun.

"Pelbagai barangan dirampas antaranya telefon bimbit, komputer riba, wi-fi, modem serta kad debit," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Polis menggempur unit kondominium di Taman Pinggiran Putra, Serdang pada Isnin dan menahan enam suspek yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Iklan

Beliau berkata, siasatan mendapati unit kondominium itu dipercayai dijadikan tempat untuk promosi dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dengan menyasarkan pelanggan tempatan sejak tiga bulan lalu.

Katanya, soal siasat mendapati kesemua suspek bekerja sebagai operator perjudian dengan dibayar gaji sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Iklan

"Sindiket dikesan menggunakan laman web selain aplikasi WeChat bagi menganjur, mengurus dan mempromosikan judi online.

"Turut dikesan beberapa akaun bank disyaki keldai akaun (mule account) yang digunakan untuk tujuan memasukkan wang dan memindahkan wang kepada pelanggan (pemain)," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek dibawa ke IPD Serdang untuk siasatan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.