PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola berharap agar skuad kendaliannya itu mampu meneruskan rentak kemenangan apabila berdepan Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Etihad pada Khamis.
Menurut Guardiola, setelah mempamerkan aksi mantap bagi menewaskan Fulham 4-1 pada pusingan keempat Piala FA minggu lalu, Manchester City dilihat tidak berdepan masalah untuk meneruskan rentak kemenangan berkenaan.
"Kita mahu menjadikan perlawanan dengan Brentford sebagai medium untuk kita kembali ke landasan kemenangan.
"Aksi terakhir EPL lalu kita terikat 1-1 dengan Southampton dan kita terlepas mata yang cukup berharga.
"Oleh itu, kita tidak mampu keciciran mata lagi pada perlawanan berdepan Brentford ini,” katanya.
Untuk rekod, skuad The Citizens itu kini gah di puncak EPL dengan 57 mata setelah mengharungi 23 perlawanan berbanding 23 mata yang dimiliki The Bees.
Sementara itu, Guardiola yakin misi kemenangan berdepan Brentford mampu direalisasikan dengan kembalinya beberapa pemain tonggak seperti Rodri, Ruben Dias, Ederson dan Aymeri Laporte.
Katanya, dengan kembalinya pemain-pemain berkenaan ia akan memudahkannya untuk membuat percaturan taktikal terbaik bagi menjamin kemenangan.
"Kita gembira sebab beberapa tonggak sudah berada bersama pasukan dan kehadiran mereka diyakini bakal membantu memperkuatkan pasukan.
"Oleh itu, diharapkan mereka dapat membantu untuk mencapai kemenangan yang diharap-harapkan,” katanya.