KUANTAN - Seorang bayi perempuan berusia lima bulan maut selepas kereta dinaiki lima sekeluarga terbabas melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 33, Jalan Jerantut- Temerloh, Temerloh pada malam Isnin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Miszara Amira Jaffery disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian dada.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, pemandu kereta, Jaffery Abdullah, 54, dilaporkan patah kaki selain cedera di muka dan dada manakala isterinya, Noor Azlina Mohd Shariff, 42, cedera di perut.
Menurutnya, dua lagi anak pasangan itu, Miszara Husna, 6, dan Miszara Halisya, 5, turut cedera.
"Berdasarkan siasatan awal, lima sekeluarga yang menaiki kereta jenis Proton Saga itu dalam perjalanan dari arah Jerantut menghala ke arah Temerloh.
"Ketika tiba di lokasi kejadian berhampiran jambatan Kuala Krau, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan ekoran keadaan laluan yang licin lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan di tengah laluan.
"Akibat kejadian, kenderaan tersebut remuk pada bahagian hadapan menyebabkan pemandu dan penumpang tersepit dan mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Kamarulzaman berkata, mangsa yang berada dalam pangkuan ibunya di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat," katanya.
Tambahnya, semua mangsa yang cedera juga dihantar menerima rawatan di hospital sama.
"Kemalangan yang mengorbankan nyawa bayi itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.