SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan sidang media mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas selesai mesyuarat khas yang dijadualkan berlangsung esok (Rabu).
Menerusi satu kenyataan pada Selasa, SPR memaklumkan sidang media oleh pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh akan berlangsung pada jam 12.30 tengah hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru, Johor.
"SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas Berkaitan Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-15 pada 9 Februari 2022 (Rabu) bermula jam 10 pagi.
"Sidang media oleh Datuk Abdul Ghani Salleh, Pengerusi SPR akan diadakan selepas mesyuarat khas tersebut," menurut kenyataan itu.
Sidang media tersebut dijangka bakal mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN Johor seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan.
Pada 24 Januari lalu, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Mesyuarat Khas berkaitan urusan PRN Johor akan diadakan pada 9 Februari.
Jelasnya menerusi kenyataan, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Abdul Ghani.
Mesyuarat tersebut susulan penerimaan satu notis rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 seperti yang termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.