JOHOR BAHRU - Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gemar mengamalkan budaya ugutan dan mengaut segala kepentingan hanya untuk memastikan parti itu sentiasa relevan.
Nur Jazlan berkata, perkara itu boleh dibuktikan menerusi dakwaan perjanjian yang dibuat antara Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, sikap pemimpin Bersatu seperti Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Razali Idris membuktikan mereka tidak jujur dalam menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
"Mula-mula mereka (pemimpin Bersatu) ugut untuk tarik sokongan, selepas itu mereka ambil kesempatan pula untuk buat syarat dan perjanjian lain dengan Perdana Menteri, mereka ini suka main belakang tabir.
"Kalau betul mereka jujur dan ikhlas untuk terus menyokong Ismail Sabri, tidak perlu mengugut dan dalam masa sama kaut keuntungan lain.
"Jika Bersatu berani tekanlah butang, tunjukkan mereka itu anak jantan dan bukan pengecut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Razali sebelum ini berkata, bukan sahaja Bersatu malah Perikatan Nasional (PN) sedia mempertahankan kerajaan pimpinan Ismail Sabri sehingga ke penghujung penggal seperti dalam perjanjian kecuali perjanjian itu dilanggar.
Menurut Razali, sepatutnya UMNO juga tidak perlu mendesak Muhyiddin untuk tarik sokongan kerana parti itu sendiri boleh melakukannya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada butiran perjanjian didakwa berlaku antara Muhyiddin dan Ismail Sabri, Nur Jazlan mengakui tidak mengetahui atau dimaklumkan oleh pucuk pimpinan UMNO berkaitan butiran perjanjian itu.
Menurutnya, jika betul Ismail Sabri ada membuat perjanjian lain dengan Muhyiddin dan Bersatu, pastinya UMNO sebagai parti naungan Perdana Menteri itu tahu mengenai perkara berkenaan.
"Saya tidak tahu pasal perjanjian itu, entah betul entah tidak. Kalau betul ada perjanjian, pemimpin dan ahli UMNO perlu dimaklumkan mengenai perincian perjanjian itu," katanya.
Nur Jazlan berkata, isu itu mungkin dimainkan sebagai polemik politik dan publisiti murahan Bersatu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.
"UMNO sejak dahulu lagi sentiasa tegas dalam membuat keputusan dan tidak berdolak dalih dalam sesuatu perkara. Macam mana Bersatu nak jadi rakan strategik, mereka pun tidak jujur dan penakut.
"Warna parti dan parti sendiri (PN) pun guna warna seakan-akan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Malah kita boleh lihat Presiden mereka nak pertahankan kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Gambir di kubu kuat sendiri pun tidak berani,” katanya.