DUBAI - Majlis Eksekutif Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengarahkan supaya pengedaran beg plastik secara percuma ditamatkan mulai awal Julai depan.
Ketika ini penggunaan beg plastik digunakan secara meluas di pasar raya dan kedai di seluruh UAE.
Iklan
Iklan
"Selaras dengan meningkatkan kemampanan alam sekitar dan menggalakkan individu mengurangkan penggunaan plastik secara berlebihan, Majlis Eksekutif Dubai telah meluluskan dasar untuk mengehadkan beg (beg plastik) sekali guna dengan mengenakan tarif 25 fils (kira-kira 29 sen)," kata pihak berkuasa itu.
Keputusan itu akan berkuat kuasa pada awal Julai depan di kedai, restoran, farmasi dan untuk penghantaran ke rumah.
UAE berikrar bahawa ia adalah langkah pertama strategi yang dirancang dalam beberapa peringkat bertujuan untuk mengharamkan sepenuhnya beg plastik sekali guna dalam tempoh dua tahun.
Pada Mac 2020, Abu Dhabi mengumumkan dasar alam sekitar baharu yang bertujuan untuk menghapuskan plastik sekali guna menjelang tahun 2021 tetapi peraturan itu masih belum digunakan.
Ia berlaku ketika UAE sedang bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah persidangan alam sekitar global atau COP28 pada tahun 2023 setelah menetapkan sasaran untuk menjadi neutral karbon menjelang 2050 selaras dengan matlamat yang ditetapkan oleh persidangan COP26 di Britain pada tahun lepas. - Agensi