"Makcik itu selalu buli kita adik-beradik. Tak payahlah lagi kita berhubung dengannya selepas ini. Biarkan dia terus dengan cara hidupnya yang begitu."
Ayat itu mungkin kadang-kala terpacul tatkala kita dicengkam amarah yang memuncak dan rasa sakit hati akibat perbuatan tidak baik orang-orang tertentu.
Namun, sebagai umat Islam, kita dilarang untuk memutuskan tali silaturahim kerana Islam agama yang mementingkan hubungan persaudaraan.
Islam mengajar umatnya bahawa setiap kejahatan yang dilakukan terhadap seseorang Muslim tidak boleh dijadikan penyebab terputus hubungan baik dan kebaikan.
Bagaimana hubungan silaturahim yang baik?
Hubungan silaturahim yang baik bersifat al-Wasil (penyambung silaturahim) akan mengukuhkan lagi hubungan sesama Islam.
Al-Wasil itu bukanlah orang yang mengharapkan balasan daripada saudaranya (jika saudaranya bersilaturahim maka dia pun akan membalas dengan silaturahim).
Sebaliknya al-Wasil ialah orang yang segera menyambung silaturahim jika silaturahim dengan saudaranya terputus.
Ia berdasarkan hadis, daripada ‘Abdullah bin 'Amru RA, daripada Nabi SAW bersabda:"Tidaklah seseorang itu digelar al-Wasil (penyambung silaturahim) apabila dia bersifat al-Mukafi`i (orang yang menyambung silaturahim jika saudaranya menyambungnya dan akan memutuskan apabila mereka memutuskannya), akan tetapi al-Wasil itu ialah seseorang yang apabila terputus silaturahim, beliau segera menyambungkannya." (Riwayat al-Bukhari)
Dalam Islam, antara silaturahim yang disyariatkan adalah saling mengasihi, memuliakan dan memberi maaf kepada orang yang berbuat zalim kepada kita.
Semua itu dilakukan hanyalah semata-mata kerana ALLAH SWT, bukan bertujuan untuk mendapatkan pujian serta habuan dunia.
Seseorang Muslim hendaklah terus menghubungkan silaturahim terutama dengan kaum kerabat dan saudaranya yang lain meskipun mereka tidak menerima tindakannya itu dengan kebaikan.
(Sumber: Laman Web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)