MRC lancar Pelan Antirasuah 2021-2025

Iklan
Nor Hizwan, Daroyah

SHAH ALAM – Majlis Getah Malaysia (MRC) melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2021 hingga 2025 bagi menyokong Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

Pengerusinya, Dr Daroyah Alwi berkata, ia adalah salah satu usaha MRC untuk menangani isu rasuah dan salah laku integriti di dalam organisasi tersebut.

Iklan
Iklan

"MRC menyokong saranan dan aspirasi kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rasuah. Oleh itu, satu pelan komprehensif dirangka untuk menangani isu penyelewengan termasuk rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Daroyah berkata, pelan lima tahun itu juga berfungsi sebagai garis panduan dalam menetapkan sasaran praktikal untuk pembangunan inisiatif baharu dan komprehensif.

Iklan

Tambah beliau, OACP itu digubal berdasarkan pelan khusus yang dianalisis dengan teliti dengan kaedah penilaian risiko rasuah yang membolehkan MRC mengenal pasti bidang yang memerlukan perhatian serius.

"Pelan ini akan dinilai dan diberi penambahbaikan berterusan bergantung kepada keadaan semasa tepat pada masanya.

Iklan

"Kejayaan OACP MRC ini amat bergantung kepada komitmen tinggi dan kepatuhan pihak pengurusan dan kakitangan dalam pelaksanaannya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad berkata, dengan pelaksanaan tersebut, dijangka semua kakitangan akan menghargainya dan memupuk integriti diri.

"Ia juga usaha dalam membentuk sebuah organisasi bebas rasuah di Malaysia dan di mata dunia,” katanya.