ALOR SETAR - Operasi Ops Bersepadu (Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Sapu) oleh Jabatan Imigresen Kedah semalam berjaya menahan 14 warganegara asing di Terminal Bas Shahab Perdana Alor Setar atas kesalahan tidak memiliki pas perjalanan dan tinggal melebihi tempoh di negara ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, seramai 39 orang diperiksa terdiri dari pelbagai warganegara bermula jam 10 malam sehingga 3 pagi.
Menurutnya, bertindak atas maklumat orang ramai dan hasil risikan, seramai 14 warga asing ditahan hasil pemeriksaan tersebut.
"Seramai 14 orang ditahan melibatkan 2 lelaki dan 2 wanita warganegara Indonesia dan 9 lelaki dan 1 wanita warganegara Myanmar. Kesemua mereka berumur lingkungan antara 19 sehingga 57 tahun.
"Seramai 16 Pegawai Imigresen daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah terlibat dalam operasi penguatkuasaan ini," katanya.
Zuhair berkata, siasatan awal mendapati, mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1(c) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Menurutnya, 14 warga asing yang ditahan turut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) atas kesalahan tinggal lebih masa dan Per.39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan berkerja secara tidak sah.
"Mereka ditahan di lokap Imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri,Alor Setar Untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik," katanya.