Menurut Ketua Misi Kemanusiaan, Ameera Nadia Mohd Shafie, bertitik tolak dari misi awal penubuhan, YNM telah melancarkan Tabung Baik Pulih Kediaman, iaitu salah satu daripada tabung-tabung utama.
Katanya, tabung lain termasuklah Tabung Basmi Kemiskinan, Tabung Pendidikan, Tabung Bekalan Kesihatan dan Tabung Bencana Alam.
"Tabung Baik Pulih Kediaman telah dilancarkan bagi membantu pemohon yang mempunyai kediaman namun sukar untuk baik pulih kediaman atas faktor kesukaran ekonomi semasa.
"Sebelum permohonan dan bantuan diluluskan, tinjauan perlu dilakukan oleh pihak pengurusan yayasan.
"Hasil tinjauan mendapati, rata-rata rumah yang ditinjau berada dalam keadaan daif dan tidak sesuai untuk didiami khususnya bagi mereka yang berkeluarga,” katanya.
Ujar beliau, skop bantuan hanya melibatkan bahagian tertentu rumah yang memerlukan baik pulih, seperti contoh kebocoran pada ruangan dapur, atau pembahagian ruangan dalam rumah untuk dijadikan bilik-bilik berasingan, dan tidak meliputi keseluruhan rumah atau pembinaan rumah baharu.
"Pihak yayasan juga menyahut baik sekiranya terdapat mana-mana badan korporat atau agensi-agensi kerajaan yang berhasrat ingin bekerjasama dalam merealisasikan hasrat murni yayasan bagi membantu mereka yang terkesan.
"Sumbangan orang ramai boleh disalurkan ke akaun Yayasan Nurani Malaysia di 8604856714, CIMB Bank atau klik pada pautan https://bit.ly/3s0oY5l untuk tujuan menyumbang,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau permasalahan, boleh melayari laman sesawang Yayasan Nurani Malaysia (YNM) di www.ynurani.my