SHAH ALAM- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk memberikan jaminan bayaran pampasan kepada penerima vaksin dos penggalak Covid-19 sekiranya mereka mengalami kesan sampingan yang teruk.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, cadangan tersebut dibuat berdasarkan keyakinan KKM yang menyatakan bahawa dos penggalak tidak mendatangkan risiko yang teruk.
"Saya dengan ini mohon mencadangkan supaya penerima tidak perlu tandatangan surat yang menghalang tuntutan ganti rugi sebaliknya KKM memberi jaminan bayaran pampasan jika berlaku kesan buruk kesihatan pada penerima,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Asri menjelaskan, cadangan tersebut dikemukakan setelah beliau melihat ramai penerima memberitahu kesan buruk kesihatan yang dihadapi selepas mengambil suntikan dos penggalak.
Beliau mendakwa, ada juga yang memberitahu kesan sampingan tersebut mengakibatkan kematian.
"Ada yang mendakwa maut. Di pihak KKM pula sering menafikan. Supaya tidak berlaku ketidakadilan, maka KKM boleh membuktikan apa yang pihak mereka kata selama ini benar dengan memberi jaminan bayaran pampasan jika berlaku kesan buruk ke atas penerima.
"Ini baru seimbang dan bukti dakwaan KKM ini jujur bukan kerana ada unsur lain seperti bisnes dan seumpamanya seperti yang dituduh.
"Jika tidak, saya lihat kemarahan rakyat dalam isu ini makin membesar dan sukar ditangkis oleh kerajaan,” ujarnya.