KOTA KINABALU - Seorang bekas pengurus kanan Jabatan Pengurusan Gudang dan Logistik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dipenjara selama 11 bulan selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah bernilai RM59,000 lima tahun lalu.
Tertuduh, Sufian Abdul Ghani, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat di Mahkamah Khas Rasuah di sini pada Selasa.
Menurut ketiga-tiga pertuduhan, pada 9 Mac, 4 Mei dan 16 Oktober 2017, tertuduh secara rasuah menerima wang berjumlah RM59,000 secara berasingan daripada sebuah syarikat sebagai dorongan agar segala urusan tuntutan kerja yang dilakukan syarikat berkenaan terhadap Jabatan Pengurusan Gudang dan Logistik SESB lancar.
Suapan itu juga bagi memastikan syarikat berkenaan mendapat projek kerja-kerja kecemasan dari jabatan terbabit.
Tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Sehubungan itu, tertuduh yang mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dijatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula Selasa dan denda sebanyak RM220,000 dan jika gagal membayarnya dikenakan penjara selama tiga bulan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan penjara enam bulan bermula Selasa dan denda sebanyak RM25,000 dan jika gagal bayar denda dikenakan penjara selama satu bulan.
Pertuduhan ketiga, tertuduh dikenakan penjara enam bulan bermula Selasa dan denda RM50,000 dan dikenakan penjara selama satu bulan jika gagal membayarnya.
Bagaimanapun, tertuduh tidak dapat dan gagal untuk membayar semua denda berkenaan.
Oleh demikian, mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan penjara selama 11 bulan di mana hukuman berjalan dengan serentak.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.