Kematian Adib: Mahkamah Koroner ada kuasa mula prosiding komital

Iklan
Muhammad Adib

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa memutuskan mahkamah koroner yang mendengar inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Ia adalah membabitkan affidavit yang difailkan Tommy pada 3 April 2019 lalu berhubung punca kematian Allahyarham Muhammad Adib.

Iklan
Iklan

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Suraya Othman memutuskan demikian selepas sebulat suara menolak rayuan Tommy ketika prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Hakim Suraya berkata, isu yang dibangkitkan dalam rayuan itu adalah sama ada hakim mahkamah sesyen yang bertindak sebagai majistret ada bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital berkenaan.

Iklan

Beliau yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah berkata, kuasa mahkamah koroner adalah tidak terhad dalam memulakan prosiding komital di hadapannya sahaja, tetapi turut melibatkan insiden di luar mahkamah.

"Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan yang dikemukakan oleh responden (Tommy) bahawa prosiding menghina mahkamah hanya boleh dimulakan jika berlaku dalam kamar bicara.

Iklan

"Mengikut Seksyen 82 Akta Mahkamah Rendah 1948, apabila majistret menggunakan kuasanya, ia bertindak sebagai mahkamah undang-undang, maka ia mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman terhadap kesalahan dalam prosiding komital,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Tommy yang diwakili peguam Datuk S Ambiga untuk menangguhkan pendengaran bagi dua lagi rayuan yang difailkan bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid.

Mohd Kassim, Tommy

Ia adalah membabitkan rayuan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengenepikan keputusan koroner memberikan kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding komital.

Hakim Suraya berkata, penangguhan dibuat sehingga permohonan Tommy untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan, diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Zainur Zakaria yang mewakili Tommy berkata, pihaknya bercadang untuk memohon agar keputusan tersebut disemak oleh panel berlainan Mahkamah Rayuan andai kata permohonan kebenaran merayu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mohd Kassim tidak membantah penangguhan tersebut.

Pada 16 Julai 2019, Mohd Kassim, 68, memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy di Mahkamah Koroner, Shah Alam atas dakwaan menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan Tommy kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan terbabit di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Tommy atas alasan mahkamah koroner terkhilaf ketika membenarkan prosiding komital dimulakan terhadapnya.

Pada Januari, mahkamah mendengar rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai isu, sama ada mahkamah koroner mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan prosiding komital.

Dua lagi rayuan yang dikemukakan Mohd Kassim termasuk terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah mahkamah koroner yang memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy.

Dalam permohonannya, Mohd Kassim mendakwa Tommy telah menghina mahkamah menerusi afidavit yang difailkan AGC pada 3 April 2019 berhubung punca kematian anaknya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 pada 27 November 2018.

Beliau meninggal dunia ketika berusia 24 tahun, pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, mahkamah koroner memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah disebabkan oleh perbuatan jenayah oleh lebih dua individu.