Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Kedah, Datuk Juhari Bulat berkata, kerajaan negeri masih dalam keadaan stabil sehingga hari ini dan beliau melihat tiada sebab untuk mengadakan PRN.
Menurutnya, semua pihak perlu bersama-sama membangunkan negeri ini terutamanya selepas Kedah menjadi negeri yang menerima pelaburan tertinggi di Malaysia pada tahun lalu.
"Setakat ini DUN Kedah stabil. Tidak ada (dakwaan PRN akan berlaku di Kedah). Itu semua gimik. Semuanya baik di Kedah, tidak ada apa-apa," katanya semasa ditemui pemberita selepas Program Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, dekat sini pada malam Isnin.
Juhari yang juga ADUN Ayer Hangat berkata demikian selepas diminta mengulas khabar angin tentang PRN Kedah bakal diadakan selepas selesai PRN di Johor.
Menurutnya, pelaburan yang diterima oleh Kedah ini perlu diuruskan dan dilaksanakan dengan baik bagi memastikan akan berlaku limpahan ekonomi seperti peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
"Pelaburan yang besar sedang berlaku di negeri ini, mendahului negeri-negeri lain seperti Selangor dan Pulau Pinang. Kita perlu jaga baik-baik," ujarnya.
Pelaburan tersebut seperti yang diumum oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Kedah telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM57.1 bilion atau 32 peratus daripada nilai pelaburan masuk ke negara ini bagi tempoh Januari hingga September 2021.
Pada 30 Januari lalu, Sanusi menafikan kerajaan negeri pimpinannya kini goyah susulan dakwaan dua ADUN daripada UMNO akan menarik sokongan.
Malah ADUN Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor yang dikaitkan dengan tular terbabit turut menafikan dan menyatakan masih menyokong kerajaan negeri.