Suspek dikehendaki kes samun ada rekod larikan orang

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 3 Februari lalu.

TUMPAT - Seorang lelaki yang melarikan diri dalam kejadian samun sebelum kenderaan dinaiki tiga rakannya terbakar didapati berada dalam senarai sebagai orang dikehendaki kerana melarikan individu dengan salah.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, semakan polis mendapati suspek lelaki yang berusia 37 tahun itu dikehendaki berkait laporan kes berkenaan yang berlaku di Machang pada tahun 2019.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis giat mengesan suspek yang dipercayai bersembunyi dan masih bebas berada dalam negeri ini.

"Suspek adalah lelaki tempatan yang berasal dari Kota Bharu dan tidak bekerja.

Iklan

"Suspek ini juga adalah orang yang dikehendaki berkait Seksyen 363 kerana melarikan individu dengan salah di Machang pada tahun 2019,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini pada Selasa.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai maklumat berkaitan supaya menyalurkan ke balai-balai berdekatan.

Iklan

Sementara itu, Mohd Azmir berkata, polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti dua mayat rentung dalam kejadian kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV terbakar.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga lelaki maut dengan dua daripadanya rentung selepas Honda HRV dipandu terbabas dan terbakar dalam kejadian samun kenderaan di Jalan Wakaf Bharu Palekbang di sini pada 3 Februari lalu.

Seorang lagi suspek yang memandu kenderaan berasingan jenis Ford Ranger yang dicuri dari sebuah rumah di Sungai Pinang, di sini terbabas di dalam perjalanan di Kubang Kerian dan suspek melarikan diri.

Kejadian turut menyebabkan sebuah lagi kereta terbakar iaitu jenis Proton Wira milik penduduk kampung yang diparkir berhampiran serta sebuah rumah kosong yang mengalami 30 peratus kebakaran.