SIK - Seorang pesara tentera terpaksa menyewa akibat tidak mampu membaik pulih rumah pusaka yang hangus terbakar menyebabkannya tinggal sehelai sepinggang dalam tragedi 5 Ogos lalu.
Shuib Awang, 64, dari Kampung Charok Kemuning Dalam berkata, kejadian pada jam 4.50 pagi itu masih menghantui keluarga apabila mengenangkan ibu, Mariam Mihat, 90, tidak dapat diselamatkan selain dia dan isteri turut mengalami kecederaan.
Menurutnya, isteri, Zalina Mohamed, 60, melecur di kedua bahagian kaki akibat terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri manakala Shuib cedera ringan di kaki kanan.
"Saya kini bergantung harap pada wang pencen untuk membayar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan selain perbelanjaan harian.
"Kami juga perlu berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.
"Selain itu, luka melecur di kedua belah kaki isteri juga masih belum sembuh sepenuhnya memandangkan turut menghidap kencing manis, malah isteri masih trauma akibat sering terbayang kebakaran dan api marak," katanya.
Shuib menjelaskan, rumah pusaka terbabit telah dinaik taraf pada tahun 2000 dengan kos sebanyak RM180,000 setelah tamat perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), namun tidak menyangka semuanya musnah dalam sekelip mata.
"Kini wang simpanan telah habis dan tidak mampu lagi untuk membaikinya.
"Sebelum ini, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Persatuan Veteran TUDM Cawangan Kedah ada memberi sumbangan sejumlah wang, namun saya telah gunakan untuk membeli keperluan di rumah sewa memandangkan ketika itu tinggal sehelai sepinggang.
"Selain itu, saya turut membayar upah untuk merata dan membersihkan sisa binaan rumah sebelum ini, hendak baiki rumah memang saya tak ada duit lebih, namun teringin jika ada rumah kecil pun jadilah untuk kami berteduh tanpa perlu lagi menyewa sampai akhir hayat," jelasnya.
Orang ramai yang ingin membantu, boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 10714-3090-406 atas nama Shuib Awang.