IPOH - Kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) akan terus menjual ayam segar standard pada harga RM4 seekor menerusi Kedai Bergerak Negeri Perak (KBNP) yang disediakan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, harga tersebut ditawarkan kepada orang ramai yang membeli barangan keperluan lain dengan nilai RM25 ke atas di kedai bergerak.
Menurutnya, jualan ayam pada harga tersebut boleh dilaksanakan jika bekalan haiwan ternakan tersebut mencukupi.
"Ini sesuatu yang baik, pada masa sama orang boleh beli barang lain tetapi ada tawaran untuk membeli ayam pada harga yang sangat murah.
"Saya yakin PPPNP boleh melakukannya dengan membuat tawaran yang sama, dengan syarat ada ayam sebab mereka ternak ayam," katanya kepada pemberita selepas Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2022 di Stadium Indera Mulia di sini pada Selasa.
Sementara itu, Saarani mengulangi pendirian sebelum ini bahawa Perak tidak akan mengikuti langkah kerajaan Selangor untuk menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8 sekilogram.
Menurutnya, perkara itu diputuskan dengan alasan tiada jaminan bahawa harga tersebut hanya akan dinikmati oleh rakyat di negeri tersebut.
Pada 6 Februari lalu, Saarani menjelaskan meskipun pelaksanaan perkara itu kelihatan lebih baik untuk rakyat di negeri masing-masing, namun tiada mekanisme menghalang penduduk negeri lain datang membeli ayam sekiranya ia dijual murah di negeri ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya berkata, jualan ayam segar standard RM4 seekor itu dilaksanakan pada setiap jualan kedai bergerak di seluruh negeri.
Menurutnya, jualan ayam tersebut antara yang paling laris terjual setiap kali diadakan jualan kedai bergerak di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, PPPNP memperuntukkan RM1 juta kepada Yayasan Bina Upaya (YBU) bagi membekalkan ayam segar standard untuk dijual melalui kedai bergerak tersebut.
KBNP diperkenalkan semula oleh YBU bermula pada November tahun lalu yang menjual barangan keperluan harian dengan diskaun sehingga 15 peratus.