KUANTAN - Sebanyak 12 kes kemalangan maut dengan 16 kematian direkodkan di negeri ini sepanjang Ops Selamat 17 Tahun Baharu Cina bermula 28 Januari hingga 6 Februari lalu.
Jumlah kes kemalangan maut itu sama seperti yang direkodkan pada Ops Selamat 16 Tahun Baharu Cina 2020, namun bilangan kematian meningkat satu kes tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohd Daud berkata, daripada 553 kes kemalangan yang direkodkan dalam tempoh 10 hari pelaksanaan ops itu tahun ini, satu kes kemalangan melibatkan cedera parah dan tiga kes cedera ringan.
Menurutnya, secara keseluruhan, bilangan kes kemalangan dalam tempoh Ops Selamat 17 turun sebanyak 97 kes berbanding 650 kes yang direkodkan pada Ops Selamat 16 di Pahang.
"Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 15,205 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya di negeri ini.
"Daerah Kuantan mencatatkan jumlah saman dikeluarkan paling tinggi dengan 5,003 saman diikuti Lipis (1,861 saman), Temerloh (1,831 saman), Raub (1,219 saman), Rompin (1,177 saman) dan Bentong (1,068 saman).
"Bagi daerah Pekan sebanyak 884 saman dikeluarkan, Jerantut (813 saman), Bera (588 saman), Maran (385 saman) dan Cameron Highlands (376 saman)," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Kamarulzaman berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 13 tangkapan dilakukan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol dan memandu atau menunggang secara melulu serta berbahaya.
"Ada juga yang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan menghalang penjawat awam serta melakukan kekerasan terhadap anggota polis," katanya.
Menurutnya, hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan, sebanyak 12 motosikal di sita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.