SWCorp, USM jalin kerjasama dalam bidang pengurusan sisa pepejal

Iklan
Ismail

NIBONG TEBAL - Bagi menyokong dasar kerajaan dalam pelaksanaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan mewujudkan sebuah Pusat Latihan Kemahiran dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Universiti Sains Malaysia (USM).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, pengurusan sisa pepejal perlu dilihat secara keseluruhan, dengan pembangunan modal insan juga sama penting, di samping pembangunan infrastruktur dan teknologi.

Iklan
Iklan

"TVET berpotensi menjadi pemacu utama dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan dan mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing,” katanya dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SWCorp dengan USM di sini pada Selasa, yang dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) kementerian, Kamaruzaman Umar.

Tambahnya, pelaksanaan inisiatif ini adalah untuk meningkatkan imej dan martabat pekerjaan industri pengurusan sisa pepejal selain membantu dalam penghasilan produk berkualiti dan perkhidmatan yang lebih efisien.

Iklan

Berikutan pemeteraian MoU bagi Bidang Kerjasama dalam Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam itu, kira-kira 1,000 bakal graduan USM Kampus Kejuruteraan akan mengikuti program pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang tersebut dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, program ini membolehkan pelajar dianugerahkan dua sijil selepas tamat pengajian iaitu sijil ijazah sarjana muda mengikut jurusan masing-masing dan sijil SKM Tahap 3 iaitu melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), sekali gus menjadi nilai tambah kepada bakal graduan.

Iklan

"Pelajar USM merupakan kelompok pertama yang bakal mengikuti program pensijilan SKM dalam bidang tersebut di negara ini, sijil yang bakal dianugerahkan bertepatan dengan objektif USM untuk melahirkan graduan yang hebat dari segi akademik, berkemahiran dan mampu berdaya saing,” katanya. - Bernama