KAJANG - Jalan rosak di Bukit Mahkota di sini telah diambil tindakan segera oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada Selasa.
Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Kamarul Izlan Sulaiman, tindakan itu dilakukan sebelum Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau Lando Zawawi menularkan video keadaan jalan itu beberapa jam lalu.
Menurutnya, pengarah kejuruteraan MPKj turun ke lokasi bagi meninjau masalah jalan yang mendap dan berlubang itu pada pagi Selasa.
"Langkah awal dilakukan dengan memasang pengadang (barrier) sementara kerja penyelenggaraan dilakukan.
"Dijangka kerja menurap dan menampal jalan ini diselesaikan dalam minggu ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tiga jam lalu, Azlan menerusi Facebook miliknya telah berkongsi keadaan jalan rosak dilaporkan di Jalan 6/2 Bandar Bukit Mahkota di sini.
Menerusi video berdurasi 44 saat itu, aktivis berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati dengan keadaan jalan itu yang mengundang risiko kepada pengguna.
Katanya, MPKj mengalu-alukan sebarang aduan daripada orang awam demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga pihak berkuasa tempatan tersebut.
Mengulas lanjut, Kamarul Izlan memberitahu, jalan sama pernah dibaiki namun rosak semula susulan penggunaan trafik melebihi had terutama melibatkan kenderaan berat.
"Pada 21 Januari lalu, kontraktor pernah baiki semua jalan yang bermasalah namun rosak semula akibat jumlah trafik dan beban lori yang tinggi dari arah Nilai 3 yang menggunakan jalan MPKj.
"Jalan ini direka untuk taman perumahan sahaja, namun disebabkan lokasinya berhampiran projek pembangunan telah menyebabkan jalan tersebut turut digunakan kenderaan berat," katanya.
Katanya, MPKj akan mengadakan pertemuan dengan pihak industri bagi membincangkan mengenai perkara tersebut bagi mengatasi isu kerosakan jalan berulang.
Pada masa sama katanya, pihaknya akan bekerjasama daripada agensi berkaitan untuk melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan larangan kenderaan berat melalui jalan kawasan perumahan.